DARO: Majlis prapelancaran Jambatan Muara Lassa akan berlangsung esok (9 Januari) di tapak jambatan tersebut di sini.
Dengan prapelancaran itu, jambatan tersebut dibuka kepada umum.
Majlis prapelancaran itu akan dilakukan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah, kira-kira jam 10 pagi.
Dengan siapnya, jambatan tersebut yang menghubungkan Pulau Bruit dengan pekan Daro melalui rangkaian jalan pesisir itu mampu merancakkan ekonomi masyarakat di kawasan berkenan.
Untuk rekod, Jambatan Muara Lassa yang sepanjang 2.43 kilometer (km) ini mempunyai dua laluan, merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak membabitkan kos RM597.58 juta.
Jambatan Muara Lassa merupakan antara tiga projek jambatan dibina oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kawasan pesisir selain Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Igan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dipetik sebagai berkata, projek Jambatan Muara Lassa mula dilaksanakan pada 2019, namun ia tertunda disebabkan pandemik Covid-19.
Malah, jambatan tersebut antara jambatan yang ditunggu-tunggu oleh penduduk sekitar.
Sementara itu, Premier Sarawak bakal merasmikan jambatan tersebut pada 22 Februari depan.
GAMBAR: Hasnezam Hasan